KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berpandangan adalah lebih baik menangguhkan kemenangan Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, berbanding menangguhkan ibadat haji.
Ini kerana, kata beliau, menangguhkan kemenangan Pas tidak bermakna menangguhkan kemenangan Islam, maka pengundi tidak perlu menangguhkan ibadat haji dan umrah mereka.
Apatah lagi, kata beliau, menangguhkan kemenangan Pas juga bermaksud menghentikan politik kebencian agama serra penggunaan ayat ayat al-Quran dan hadis sesuka hati.
Ia termasuk mengeluarkan pelbagai fatwa politik yang mengelirukan.
“Belum tentu Pas menang maka Islam akan tertegak.
“Apatah lagi kalau Pas menang di PRK Ayer Kuning. Setakat menang satu kerusi tidak mengubah Kerajaan Perpaduan di Perak,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, Pas juga tidak membuktikan apa-apa apabila berkuasa seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.
“Apa kejayaan Pas? Tangguh kemenangan Pas. Jangan tangguh haji dan umrah,” katanya.
Hantaran Mohd Puad itu merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Ahli Parlimen Marang itu ketika berucap pada kempen sempena Pililhan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Abdul Hadi turut mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik. – MalaysiaGazette