KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan 1.4 peratus pada Mac 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.1 berbanding 132.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi pada Mac 2025 telah didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan, 3.6 peratus (Februari 2025: 3.7%), diikuti oleh restoran & perkhidmatan penginapan, 2.9 peratus (Februari 2025: 3.5%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.9 peratus (Februari 2025: 2.3%); minuman alkohol & tembakau, 0.8 peratus (Februari 2025: 0.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah, 0.2 peratus (Februari 2025: 0.3%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi bagi kedua-dua pendidikan (2.2%) dan rekreasi, sukan & kebudayaan (1.7%) merekodkan peningkatan lebih tinggi berbanding Februari 2025.

Sementara itu, makanan & minuman (2.5%),binsurans & perkhidmatan kewangan (1.5%), kesihatan (1.0%) dan pengangkutan (0.7%), meningkat pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.

Sebagai tambahan, maklumat & komunikasi dan pakaian & kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 5.4 peratus dan 0.2 peratus.

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.5 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: 2.5%).

Kelas perbelanjaan makanan sedia dimakan & produk makanan lain tidak terkelas di tempat lain yang mencatatkan 3.1 peratus (Februari 2025: 3.2%) juga merupakan penyumbang utama kepada peningkatan subkumpulan makanan di rumah.

Sementara itu, inflasi kelas perbelanjaan Susu, produk tenusu lain & telur pula berada pada jajaran negatif 1.1 peratus berbanding negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Susu segar dan susu penuh krim masing-masing menurun kepada negatif 2.4 peratus dan negatif 1.4 peratus pada Mac 2025.

Susu tepung penuh krim turut menurun kepada negatif 1.4 peratus berbanding negatif 1.0 peratus yang dicatatkan pada bulan Februari 2025.

Kelas perbelanjaan sayur-sayuran mencatatkan penurunan pada negatif 0.8 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: -1.0%) manakala kelas perbelanjaan daging turut menurun kepada negatif 0.4 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: -0.3%).

Inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat pada kadar yang perlahan kepada 1.9 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: 2.3%) didorong oleh subkumpulan bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman (0.9%).

Kelas perbelanjaan bekalan air meningkat perlahan sebanyak 0.5 peratus pada Mac 2025 (Februari 2025: 2.5%).

Selain itu, inflasi pengangkutan kekal 0.7 peratus, kadar yang sama seperti bulan
sebelumnya. Ini disumbangkan oleh subkumpulan Pengurusan peralatan
pengangkutan persendirian (1.3%).

Manakala, bagi subkumpulan pembelian kenderaan dan Perkhidmatan pengangkutan barangan masing-masing kekal pada kadar yang sama berbanding bulan sebelumnya iaitu 0.7 peratus dan 2.0 peratus.

Namun begitu, subkumpulan Perkhidmatan pengangkutan awam kekal pada jajaran
negatif iaitu negatif 5.3 peratus, dan ianya sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi
kumpulan ini dari terus meningkat.

Mohd Uzir Mahidin turut menambah, 12 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.4 peratus dengan Labuan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.6 peratus pada Mac 2025.

Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (2.1%), Selangor (1.8%), Negeri Sembilan (1.7%) dan Melaka (1.6%).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman di Putrajaya iaitu 3.6 peratus, diikuti oleh Negeri Sembilan (3.4%), Selangor (3.3%), Johor (2.9%), Sabah (2.9%), Melaka (2.8%) dan Labuan (2.8%), manakala, negeri-negeri lain menunjukkan
peningkatan di bawah paras inflasi nasional bagi Makanan & Minuman (2.5%) pada Mac 2025.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Mac 2025 tidak merekodkan sebarang perubahan berbanding Februari 2025 walaupun terdapat peningkatan dalam pendidikan (0.5%), penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan (0.3%); makanan & minuman (0.1%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.1%) pada Mac 2025.

Peningkatan ini diimbangi oleh penurunan pengangkutan (-0.2%), restoran & perkhidmatan penginapan (0.1%) dan maklumat & komunikasi (-0.1%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here