PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan berhubung gesaan agar semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
“Tak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini,” kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan di kementerian Komunikasi, sini, hari ini.
Beliau menjawab gesaan Saravanan agar semua agensi dan jabatan kerajaan supaya menghentikan penggunaan istilah kuil haram.
Kelmarin, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semua jabatan dan agensi kerajaan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ apabila merujuk kepada rumah ibadat Hindu.
Menurut Saravanan, penggunaan istilah tersebut adalah sensitif dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu yang amat menghormati tempat ibadat mereka yang kebanyakannya telah wujud sejak zaman penjajahan British dan Jepun, sebelum termaktubnya Kanun Tanah Negara pada tahun 1965.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan, menggelar rumah ibadat tersebut sebagai ‘kuil haram’ adalah tindakan tidak wajar dan langsung tidak menghormati nilai sejarah dan budaya masyarakat India di negara ini. – MalaysiaGazette