KUALA LUMPUR – Pas Selangor menggesa kerajaan negeri menyegerakan projek tebatan banjir di negeri itu susulan bencana banjir kilat yang terus berulang pagi ini.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, projek tebatan banjir itu merupakan penyelesaian jangka panjang kepada bencana tersebut dan melibatkan soal nyawa serta maruah rakyat.
Jelasnya, beliau telah berkali-kali membongkar mengenai kelewatan, kecuaian dan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor dalam menangani isu banjir tersebut.
“Namun apa respons Kerajaan Negeri? Sindiran, cercaan dan keangkuhan.
“Saya dituduh memperbodohkan diri, sedang saya hanya membawa suara rakyat yang sudah letih menanti perubahan yang tak kunjung tiba.
“Saya tidak gentar. Biarlah saya dicaci, asalkan saya tidak membisu saat rakyat dihanyutkan air banjir dan dihimpit kelalaian pentadbiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awal pagi ini, beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk di Paya Jeras sekali lagi ditenggelamkan banjir kilat susulan hujan lebat beberapa jam sejak lewat malam tadi.
Bencana yang terus berulang itu menyebabkan penduduk sekali lagi berdepan kesukaran selain terpaksa menanggung kerugian ekoran kemusnahan harta benda.
Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, rakyat berhak mengetahui status dan perkembangan terkini berkenaan rancangan projek tebatan banjir yang dituntut mereka.
Jelasnya, sehingga kini, rakyat tidak melihat hasil daripada ratusan juta ringgit yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Selangor kononnya untuk infrastruktur dan pengurusan banjir.
“Cukuplah beralasan. Ini masa bertindak.
“Saya akan terus berdiri teguh di sisi rakyat. Suara kami tidak akan dibungkam. Banjir bukan bencana semata, ia adalah petunjuk jelas kegagalan kerajaan yang lebih mementingkan persepsi daripada realiti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan simpati yang amat mendalam terhadap seluruh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang sekali lagi diuji dengan musibah banjir.
“Dalam keadaan rakyat bergelut dengan kerugian harta benda, keselamatan anak-anak, serta ketidakpastian masa depan, di mana pemimpin kerajaan negeri?” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau turut mengarahkan Jabatan Amal Negeri Selangor iaitu entiti di bawah Pas Selangor untuck turun segera bagi membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette