SHAH ALAM – Seramai 5,081 keluarga asnaf di Selangor berjaya keluar daripada kelompok kemiskinan pada tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Khaidzir Shahari, ia merupakan pencapaian tertinggi yang dicapai menerusi program pembangunan asnaf yang terancang.
Beliau berkata, kejayaan itu disokong melalui empat inisiatif utama iaitu bantuan modal niaga dengan saluran agihan sebanyak RM2.98 juta, sokongan keusahawanan (RM11 juta), insentif kerjaya (RM8.73 juta) dan Bantuan Dermasiswa Pendidikan (48.68 juta).
“Transformasi kelompok asnaf itu adalah hasil daripada pelaburan strategik dengan mereka kini aktif dari segi ekonomi, penyumbang berdikari kepada masyarakat.
“Ini seterusnya menjadi tunjang kepada misi LZS dalam membina komuniti asnaf yang berdikari dan berdaya saing,” katanya pada sidang pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan LZS 2024 di Menara Zakat Sultan Idris Shah, hari ini.
Tambah beliau, LZS dalam masa yang sama percaya pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang untuk keluarga asnaf membina masa depan yang lebih baik.
Sehubungan itu katanya, sebanyak RM194 juta telah disalurkan di bawah program Pembangunan Pendidikan asnaf.
“Ini melibatkan peningkatan 13 peratus berbanding tahun lalu, selaras pertambahan penyertaan generasi kedua asnaf ke peringkat pengajian tertinggi dan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Semua ini ada impak daripada pembayaran zakat dan memperkasakan mobiliti keluarga asnaf keluar daripada kemiskinan,” jelasnya.
Mengulas hala tuju tahun ini, katanya LZS mengutamakan penambahbaikan platform digital sedia ada agar relevan dengan peredaran semasa.
Tambahnya, dalam masa yang sama LZS turut mempergiatkan usaha memperkasakan komuniti asnaf melalui sokongan lebih meluas termasuk dalam bidang keusahawanan, peluang pekerjaan dan bantuan pembangunan.
“Langkah ini bagi menyediakan laluan yang lebih jelas ke arah kestabilan kewangan jangka panjang dan berdikari.
“Usaha ini diperkuatkan dengan peluasan rangkaian penolong amil kariah yang kini melibatkan kerjasama bersama sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan, selain perluas kerjasama rentas agensi,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















