PUTRAJAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung petang ini bakal membincangkan agenda berhubung kongres tahunan parti serta beberapa isu berbangkit.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agungnya, Dr Fuziah Salleh, yang memberitahu, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut akan bermula pukul 4.30 petang.
“Ini adalah mesyuarat MPP yang biasa, cuma ia diawalkan.
“(Antara yang akan dibincangkan) hal-hal parti, kongres, perwakilan (dan) muktamadkan (beberapa) keputusan antara inti pati (petang ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada keputusan pemilihan peringkat Cabang antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, Fuziah yang juga Timbalan Menteri KPDN bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.
“Saya tidak mahu mengulas mengenai keputusan (pemilihan peringkat Cabang).
“Saya janji akan keluarkan kenyataan hari ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, beberapa calon pada Pemilihan PKR 2025 memaklumkan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan terdapat pihak yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan tersebut.
Antara calon yang berbuat demikian adalah Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki.
Selain itu, calon lain yang tewas dalam pemilihan berkenaan dan mengambil tindakan sama adalah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Beliau tewas pada pemilihan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Shah Alam, sementara Ahli Parlimen Petaling Jaya yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, pula gagal dalam percubaannya untuk jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya.
Pemilihan PKR 2025 bagi fasa satu membabitkan peringkat Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang di tujuh negeri berlangsung pada 11 hingga 13 April.
Manakala, fasa dua pengundian membabitkan Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah bermula pada 18 April lalu dan berakhir Ahad lalu. – MalaysiaGazette