Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Nizar Mohamad Najib

KUANTAN – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) kini giat melaksanakan inisiatif pendigitalan kerajaan negeri menerusi adaptasi elemen Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelbagai aspek pentadbiran, termasuk pengurusan data raya, kajian bencana dan sistem perkahwinan.

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Nizar Mohamad Najib, antara inisiatif awal melibatkan Kursus Pendigitalan Kakitangan Awam yang memberi pendedahan terhadap aplikasi AI seperti ChatGPT melalui platform Pahang Go.

“Selain itu, kajian dan potensi jalinan usahasama dengan rakan-rakan strategik juga sedang dipertimbang kerajaan negeri bagi melihat peluang adaptasi teknologi Al dalam sektor awam.

“Agensi yang akan diberi keutamaan termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sosioekonomi seperti pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya.

Nizar berkata demikian menjawab soalan Datuk Andansura Rabu (Beserah-Pas) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal keempat DUN Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Datuk Andansura Rabu (Beserah-Pas)

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah memeterai perjanjian dengan syarikat dari China iaitu Wuhan Fire Phoenix Cloud Computing Holding Co., Ltd. untuk pembangunan Pusat Data berasaskan AI di Gambang, dengan pelaburan bernilai AS$100 juta.

“Pusat ini bakal menjadi hab digital pertama di Pantai Timur dan memberi fokus kepada teknologi AI dalam sektor agrikultur,” jelasnya.

Menjawab soalan seterusnya daripada Andansura mengenai kesan peralihan kepada teknologi Al kepada keperluan sumber manusia di Pahang, Nizar memaklumkan belum ada kajian khusus dilaksanakan di peringkat negeri.

Bagaimanapun, beliau merujuk kepada laporan TalentCorp yang mengunjurkan 620,000 pekerjaan di Malaysia bakal terkesan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akibat automasi dan digitalisasi.

Nizar turut memberi jaminan bahawa latihan akan diberi kepada penjawat awam yang lebih berusia agar tidak terbeban dalam tempoh peralihan, manakala tugasan AI boleh diagih mengikut keupayaan digital individu.

“Kita tidak akan membebankan semua penjawat awam dengan teknologi baru secara menyeluruh. Jika ada yang lebih muda dan celik digital, mereka boleh bantu kumpulan lain,”katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan kepada sistem keselamatan siber yang kukuh bagi menangani risiko pencerobohan dan perlindungan data peribadi.

Menjawab soalan tambahan ADUN Lantikan, Rizal Jamin berhubung kerjasama eksklusif dengan China, Nizar menjelaskan bahawa Pahang sentiasa bersifat terbuka dan neutral dalam hubungan pelaburan.

“Kita alu-alukan kerjasama dengan mana-mana negara, termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan Estonia yang terkenal dengan sistem digital kerajaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here