SRINAGAR, INDIA – Tentera India memaklumkan telah menembak mati dua penyerang yang melepaskan tembakan rambang di Kashmir, sehari selepas berlakunya tragedi yang mengorbankan 26 orang di wilayah yang menjadi rebutan dengan Pakistan.

Kor Chinar tentera melaporkan pada Rabu, berlaku “insiden berbalas tembakan yang hebat” dengan lelaki bersenjata yang didakwa terlibat dalam “cubaan pencerobohan” di Baramulla.

Tambahnya, pasukannya turut berjaya merampas sejumlah besar senjata dan peluru.

“Dua pengganas telah berjaya dilumpuhkan,” kata pihak tentera.

Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam telah dibahagikan antara dua negara bersenjata nuklear, India dan Pakistan, sejak kemerdekaan mereka pada tahun 1947, dengan kedua-duanya menuntut wilayah itu sepenuhnya.

India dianggarkan mempunyai 500,000 anggota tentera yang dikerahkan secara tetap di wilayah tersebut.

Kumpulan pemberontak telah berjuang selama beberapa dekad menuntut kemerdekaan Kashmir atau penyatuannya dengan Pakistan.

Pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi besar-besaran memburu suspek selepas sekumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 26 orang di kawasan pelancongan popular Pahalgam pada Selasa.

Insiden itu dianggap serangan paling dahsyat terhadap orang awam di wilayah itu sejak tahun 2000.

Insiden keganasan telah berkurangan sejak tahun 2019, apabila kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi membatalkan sebahagian autonomi wilayah itu dan melaksanakan pentadbiran secara langsung dari New Delhi. -AFP

ARTIKEL BERKAITAN

Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam serangan di Kashmir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here