KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di destinasi pelancongan popular, Pahalgam, Kashmir, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, KLN akan terus memantau rapat situasi di wilayah tersebut menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.
“Berdasarkan laporan terkini daripada pihak berkuasa, tiada rakyat Malaysia terjejas akibat insiden tersebut namun kami masih memantau situasi dengan rapat.
“Suruhanjaya Tinggi telah berhubungan dengan ketua-ketua agensi pelancongan rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dan juga sedang berada di Kashmir.
“Menurut ketua-ketua kumpulan pelancong tersebut, mereka berada dalam keadaan selamat,” kata kenyataan itu.
Pahalgam yang terkenal dengan resort ski ketika musim sejuk adalah antara destinasi ‘wajib’ buat pelancong Malaysia yang berkunjung ke wilayah yang terletak di utara India itu.
Pada kejadian 22 April lalu, sekumpulan lelaki yang dipercayai ahli kumpulan militan melepaskan tembakan rambang sehingga menyebabkan 26 orang pelancong, terkorban.
Antara mangsa yang telah dikenal pasti sebagai warga negara Nepal dan seorang lagi lelaki India yang bekerja di Asia Barat.
Pihak berkuasa tempatan menyifatkannya sebagai insiden terburuk dalam sejarah.- MalaysiaGazette