Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Artis-artis yang diundang untuk membuat persembahan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Komunikasi tidak mengenakan sebarang bayaran.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, itu pengalaman yang dilaluinya ketika rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan bersama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lepas.

“Mengenai jemputan, kadang-kadang artis yang hadir tidak mengenakan apa-apa bayaran ataupun bayaran yang nominal.

“Dalam pengalaman Kementerian Komunikasi sendiri pada tahun lalu, bila kita melakukan join dengan KPKT, beberapa artis telah menyatakan mereka akan menyampaikan persembahaan dan tidak mengenakan apa-apa caj,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media mingguan di kementeriannnya di sini hari ini.

Fahmi menjawab pertanyaan wartawan berhubung luahan rasa kecewa Pemuda Pas Terengganu susulan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikatakan dianjur secara mewah bersama artis dan selebriti.

Menurut Ketua Lajnah Kesihatannya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, pihaknya melahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap ribuan warga KKM yang saban hari bergelut dengan tekanan kerja, fasiliti yang serba kekurangan dan ketidakpastian masa depan.

Katanya, warga kerja KKM itu terpaksa menyaksikan kementerian sendiri menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri yang mewah bersama artis dan selebriti.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, beliau tidak tahu berhubung perkara tersebut kerana tidak diundang dan meminta isu itu dirujuk kepada KKM.

“Dalam pengalaman saya sendiri bagi Kementerian Komunikasi tahun lalu (majlis sambutan Aidilfitri), tahun ini kami manfaatkan veteran dan beberapa yang lain.

“Tapi, untuk itu (Majlis Sambutan Hari Raya KKM) Saya tak ada apa-apa maklumat, boleh rujuk dengan Kementerian Kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Pas kecewa majlis Aidilfitri KKM mewah di sebalik isu kebajikan petugas kesihatan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast