Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai semasa pengumuman keputusan SPM 2024 peringkat negeri Perak di Bilik Seri Budi, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, di Ipoh.

IPOH- Seramai 937 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Perak berjaya memperoleh keputusan semua A berbanding 772 calon pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai berkata, keputusan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.58 peratus daripada 2.83 peratus pada 2023 kepada 3.41 peratus.

Beliau berkata, Perak juga berjaya merekodkan peningkatkan bilangan calon yang memperoleh keputusan semua A+ kepada sembilan orang berbanding enam calon pada 2023.

“Taniah dan terima kasih diucapkan kepada semua warga sekolah yang berusaha memastikan pencapaian cemerlang ini dicapai,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pengumuman keputusan SPM 2024 peringkat negeri Perak di Bilik Seri Budi, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini, pada Khamis.

Safuan berkata, calon yang mendapat keputusan A+ dalam semua mata pelajaran melibatkan dua orang daripada Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) masing-masing satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist ACS Manjung, SMK Seri Keledang, SMK Ave Maria Convent, SMK Sam Tet, SMK San Min, SMK Seri Iskandar dan SMK Pei Yuen.

Tambahnya lagi, bagi calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), seramai tiga calon berjaya memperoleh 10A iaitu daripada kategori Kurang Upaya Pelbagai, Penglihatan dan Pendengaran.

Mengulas mengenai pencapaian keseluruhan calon SPM di Perak, Safuan berkata, Gred Purata Negeri (GPN) bagi tahun 2024 menunjukkan peningkatan bagi tahun 2024 iaitu 4.63 berbanding 4.75 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, peningkatan tersebut dicatat bagi tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2022 yang memperoleh GPN 4.92.

“Seramai 25,774 calon atau 93.86 peratus calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) layak menerima sijil SPM 2024, meningkat 1.31 peratus berbanding tahun lalu.

“Negeri Perak juga telah mencatatkan peningkatan pencapaian lulus semua mata pelajaran yang diduduki.

“Seramai 16,483 calon atau 60.03 peratus telah memperoleh pencapaian lulus semua mata pelajaran berbanding 15,900 calon atau 58.33% pada tahun 2023, dengan peningkatan sebanyak 1.70 peratus,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here