Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Cadangan pembangkang untuk melakukan penambahbaikan penternakan babi di luar kawasan Ayer Kuning di Perak tidak relevan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengusaha telah menjalankan penternakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tambahan, kata Ahmad Zahid, ketika pembangkang memimpin negeri itu tidak ada usaha dilakukan bagi menambahbaik penternakan babi di kawasan itu.

“Kita ketahui bahawa kawasan itu di luar Ayer Kuning tetapi ketika mereka menjadi pengerusi jawatankuasa pertanian tidak ada usaha untuk melakukannya.

“Oleh kerana kawasan itu adalah kawasan yang mendapat lesen sejak begitu lama maka cadangan mereka untuk melakukan penambahbaikan itu saya fikir tidak relevan lagi kerana pengusaha itu telah mengikut SOP yang ditentukan oleh Kementerian pertanian,” kata Presiden UMNO itu.

Beliau mengulas tindakan pembangkang memainkan isu penternakan babi ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, beliau akan turun ke Ayer Kuning esok bagi meneruskan kempen pilihan raya.

Pihaknya akan melakukan kempen yang terbaik bagi memastikan calon BN, Mohamad Yusri Bakir memenangi PRN Sabtu ini.

“Saya sendiri akan berada di Ayer Kuning besok sehari penuh hingga malam dan kita mengharapkan pengundi daripada pelbagai kaum akan terus mendukung calon nombor satu Barisan Nasional.

“Kita berusaha dengan sedaya dan sekuat yang mungkin untuk menentukan pengekalan kerusi itu di tangan BN,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia 2025 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung pada 22 Februari lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here