JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 54 warga asingĀ termasuk seorang majikan warga tempatan selepas menggempur pusat hiburan di Mount Austin, di sini, malam kelmarin.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Johor dalam Ops Gegar.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi operasi tersebut seramai 109 warga asing termasuk warga tempatan telah diperiksa.
“Daripada jumlah tersebut, tangkapan dibuat melibatkan seorang lelaki warga tempatan iaitu penjaga premis berusia 35 tahun.
“Semua tahanan warga asing pula melibatkan 10 wanita dan seorang lelaki warganegara Thailand, tujuh lelaki dan 22 wanita Vietnam, empat wanita Laos, enam lelaki dan seorang perempuan warga India, seorang lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.
“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, semua yang ditahan melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, lelaki warga tempatan itu pula ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sebanyak enam Notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan,” ujar beliau.
Kesemua tahanan itu pula katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dan bekerja secara haram serta terlibat dengan aktiviti tidak bermoral,” tambahnya.
Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit kerja yang sah. – MalaysiaGazette