Gambar hiasan beras
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kelantan bakal memulakan pengeluaran beras sendiri bermula Ogos ini, seiring dengan penyempurnaan pembinaan Kilang Padi dan Beras Darul Naim Sdn Bhd di Meranti, Pasir Mas yang dijangka siap menjelang musim pertama pengeluaran padi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kilang berkenaan akan mengeluarkan beras lima kilogram (kg) berjenama Darul Naim, selain membuka lebih 100 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata pembinaan dan pengoperasian kilang berkenaan merupakan antara projek mercu tanda portfolio beliau yang selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memiliki kemudahan pemprosesan padi yang direalisasikan menerusi kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan sebuah syarikat pelabur.

“Kilang ini dianggarkan mampu memproses sehingga 600 tan metrik padi sehari dengan kapasiti penyimpanan padi kering melebihi 40,000 tan metrik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) yang bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan Kelantan mampu menghasilkan beras sendiri.

Menjawab soalan berhubung nilai tambah yang ditawarkan pelabur, beliau memaklumkan bahawa kerjasama itu turut melibatkan penyediaan latihan teknologi moden kepada petani, khususnya golongan muda.

“Pelabur telah merangka pelan strategik bagi melatih petani dengan teknologi terkini, termasuk menganjurkan beberapa siri kursus di akademi padi di Kedah.

“Selain itu, beberapa pam solar berteknologi tinggi turut diperkenalkan di beberapa kawasan bagi membantu mengimbangi kos pengeluaran pertanian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri berhasrat untuk menubuhkan sebuah kilang penghasilan benih padi hibrid menerusi kerjasama strategik berkenaan, selaras dengan aspirasi menjadikan Kelantan sebagai negeri jelapang padi negara.

Menjawab soalan tambahan Harun Ismail (PAS-Tawang) mengenai ketelusan operasi kilang, Tuan Mohd Saripudin memberi jaminan bahawa beras yang dihasilkan adalah 100 peratus daripada padi tempatan, tanpa sebarang campuran beras import.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here