CYBERJAYA – Kesilapan melibatkan imej Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan dan tidak seharusnya berulang, terutamanya melibatkan agensi kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun permohonan maaf telah dikemukakan, tindakan wajar perlu diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab kerana isu tersebut menyentuh maruah dan imej negara.
“Walaupun mohon maaf pegawai yang bertanggungjawab harus diambil tindakan sebab ini soal imej negara.
“Kalau kita boleh mengambil tindakan terhadap media cetak tertentu, mengapa tidak kepada agensi kerajaan sendiri?” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), di sini, hari ini.
Hadir pada majlis Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Menurut Ahmad Zahid, tiada kompromi dalam hal membabitkan simbol negara, termasuk Jalur Gemilang dan jata negara.
“Saya harap perkara ini tidak berulang. Ini bukan soal teknikal semata-mata, ini soal imej negara yang perlu kita jaga dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memohon maaf susulan kesilapan paparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil serta-merta terhadap individu yang terlibat dan meminta semua pihak memulangkan semula laporan analisis tersebut untuk pembetulan segera.
Kesilapan tersebut dikesan pada muka surat 4, 14, 15 dan 16 laporan berkenaan yang diedarkan kepada media selepas pengumuman rasmi keputusan SPM diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Sebelum ini, isu sama turut menggemparkan apabila akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, menyiarkan imej Jalur Gemilang tidak lengkap di muka hadapan sempena liputan lawatan Presiden China, Xi Jinping.
Ekoran insiden itu, dua editor kanan akhbar terbabit ditahan polis untuk membantu siasatan.
Perkara tersebut turut mendapat teguran tegas daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menitahkan agar pihak pengurusan editorial lebih berhati-hati dan menyemak bahan sebelum disiarkan. – MalaysiaGazette