KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman enam individu termasuk seorang Pengarah syarikat, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan dua pegawai polis dalam Op C4i kerana disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi Perolehan Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i).

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 April ini dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 50-an ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2025 dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta di mana sebahagian daripada kerja-kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.

“Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Menurut sumber, penggeledahan telah dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa buah syarikat di sekitar Johor, Selangor, Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Susulan itu, SPRM menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta.

“Menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM ini, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, AS$388, Riyal2,340, QAR 1,789, Dirham 15,055 dan KZT 21,219, dan sembilan unit telefon bimbit,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 4(1) AMLA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here