Nurzahirah bersama ibunya Nur Zahayu ketika ditemui di SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Siapa sangka pelajar yang tidak pernah lulus dalam subjek Matematik, muncul sebagai antara pelajar cemerlang dengan keputusan 8A dalam SPM 2024 hasil doa seorang ibu serta sahabat yang setia menjadi guru tanpa gelaran.

Begitulah perjalanan luar biasa Nurzahirah Mawardi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, yang membuktikan bahawa kegagalan bukan noktah, tetapi permulaan kebangkitan buat dirinya.

Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, selepas peperiksaan percubaan SPM, titik perubahan berlaku apabila dia nekad menjadikan sahabat-sahabat rapatnya sebagai rujukan utama bukan untuk meniru tetapi untuk memahami subjek tertentu.

“Sejujurnya saya hanya sasar 5A dan tak pernah jangka akan dapat semua A tambahan pula tak pernah lulus subjek matematik sejak Tingkatan Satu lagi.

“Mereka (tiga rakannnya) tak pernah benarkan saya salin bulat-bulat jawapan. Sebaliknya, mereka sabar ajar satu per satu teknik penyelesaian sampai saya betul-betul faham,” ujarnya, mengakui kekuatan mental dan motivasi juga banyak dipacu oleh doa tanpa henti dari ibunya, Nur Zahayu Hassan, 50.

Mengulas lanjut anak kepada penghantar makanan itu turut berkongsi impiannya untuk bergelar pendidik satu hari nanti, khususnya dalam bidang Bahasa Inggeris, selain bercita-cita menjadi peguam.

Pasangan kembar seiras Nurul Aliya Najwa Muhammad Rusli dan adiknya, Nurul Ain Nafisha antara pelajar cemerlang SMK Bukit Jambul.

Dalam perkembangan berasingan, pasangan kembar seiras yang juga sahabat karib Nurzahirah, Nurul Aliya Najwa Muhammad Rusli dan adiknya, Nurul Ain Nafisha turut mencipta sejarah tersendiri apabila masing-masing meraih semua A dalam keputusan SPM hari ini.

“Kami tak pernah ke mana-mana kelas tuisyen. Semua yang kami capai ini hasil dari fokus sepenuhnya ketika di dalam kelas dan tunjuk ajar guru.

“Selain itu, kami juga saling membantu dan mengulangkaji bersama mengikut kesesuaian masa atas semangat adik-beradik dan impian bersama melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang,” kata pasangan kembar itu.

Terdahulu Pengarah Pendidikan negeri, Wan Sajiri Wan Hassan memaklumkan seramai 819 daripada 19,253 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Jelas beliau, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 93.67 peratus iaitu peningkatan sebanyak 1.03 peratus berbanding 92.64 pada 2023.

“Bagi gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.39 iaitu peningkatan 1.11 peratus berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here