KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada layanan dua darjat dalam insiden kesilapan paparan Jalur Gemilang iaitu bendera rasmi yang menjadi lambang kedaulatan dan maruah negara.
Menurut Perdana Menteri, siasatan akan dilakukan tanpa mengira pihak yang terlibat sama ada oleh media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.
Jelas beliau, prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua tanpa pengecualian dan semua pihak perlu lebih peka dan berhati-hati dalam soal penerbitan bahan berkaitan simbol atau maruah negara.
“Sama ada sengaja atau tidak, hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Penegasan oleh Anwar itu disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.
Insiden kesilapan paparan Jalur Gemilang berulang lagi hari ini, kali ini melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang diterbitkan dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Sehubungan itu, KPM memohon maaf dan telah mengambil tindakan tegas serta serta-merta terhadap semua pihak yang terlibat dan mengakui kecuaian tersebut tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran serta kedaulatan negara.
Sebelum ini, kesilapan paparan bendera negara yang tidak lengkap turut berlaku melibatkan sebuah akhbar berbahasa Cina dan pempamer yang menyertai acara jualan barangan bayi, TCE Baby Expo apabila menerbitkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Sementara itu, Anwar menyambut baik inovasi dalam bidang teknologi termasuk AI yang kian meluas dalam pelbagai sektor seperti media, pendidikan dan perniagaan, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab.
Tegas beliau, AI tidak boleh menggantikan tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.
“Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan teliti dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.
“AI adalah alat yang hebat tetapi jika diguanakan secara cuai, ia boleh mengundang impliaksi yang besar terhadap keharmonian dan perpaduan negara,” katanya. – MalaysiaGazette