Keputusan SPM yang diperoleh pelajar terbabit.

KUALA LUMPUR – Melihat pelajar yang hampir dibuang sekolah mendapat keputusan 1 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cukup bermakna bagi seorang guru, Muslim Ismail.

Berkongsi keputusannya, pelajar itu hanya lulus satu mata pelajaran lain manakala gagal lima yang lain.

Biarpun hanya mendapat A- dalam Landskap dan Nurseri, Muslim yang mengajar mata pelajaran itu mahu mengucapkan tahniah namun mustahil kerana pelajar itu telah meninggal dunia beberapa hari sebelum keputusan diumumkan.

“Hari ini dia dapat A- tapi aku tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks. Awak tak banyak dosa, nanti tolong saya kalau saya di sebelah satu lagi pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan,” katanya.

Bagi Muslim pencapaian pelajar itu dalam mata pelajaran Landskap dan Nurseri cukup bermakna berdasarkan latar belakangnya yang kerap ponteng ke sekolah atas alasan tertentu.

Dia dan sekumpulan guru berjaya menyakinkan murid itu yang disifatkan sebagai baik dan lurus serta tiada masalah disiplin, untuk kembali ke sekolah dan menghabiskan pendidikannya.

“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat.

“Tapi dia suka menyanyi. Aku masukkan dia dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah. Kami tak menang, tapi dia mula suka ke sekolah, mungkin sebab rasa dihargai. Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan,” kongsinya.

“Dalam subjek landskap yang aku ajar, dia tak pernah lulus pun peperiksaan, tapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan. Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tau kelemahannya,” menurutnya.

Dalam perkongsian lain, Muslim berkata, bukan sesuatu yang luar biasa untuk murid gagal mata pelajaran lain dan cemerlang dalam mata pelajaran landskap kerana pengukuran dan penilaian tidak sama.

Beliau juga percaya gred A atau G seorang murid dalam mata pelajaran tertentu bukan sepenuhnya menjadi penanda kepada kejayaan guru tertentu.

Guru itu berterima kasih atas doa yang dititip kepada arwah dan kepadanya serta  berharap sistem pendidikan terus cemerlang dengan konsep karamah insaniah yang meraikan kepelbagaian dalam memajukan fikiran anak bangsa.-MalayiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here