KUALA LUMPUR – Pempengaruh yang mendakwa dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) disaran boleh memilih untuk tidak menjawab apa-apa soalan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pempengaruh tersebut juga boleh memilih untuk menjawab soalan di mahkamah.
“Kepada sesiapa yang dipanggil SKMM, gunakan hak anda.
“Jawab setiap soalan dengan skrip “Saya akan jawab di mahkamah. Saya ulang… Saya akan jawab di mahkamah,” katanya yang juga peguam menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan pempengaruh, Aliff Ahmad dipanggil SKMM selepas menawarkan untuk membuat carian latar belakang terperinci (scrut) ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, menerusi notis SKMM memintanya memintanya untuk hadir ke ibu pejabat di Cyberjaya pada pukul 8 malam tadi.
Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak dapat berbuat demikian kepada pegawai SKMM yang menghubunginya dan akan hadir hari ini.
Aliff berkata, sebelum ini dia pernah membuat laporan kepada SKMM berhubung laman web yang didakwa menjual data Jabatan Pendaftaran Negara yang bocor.
Namun, katanya, tiada tindakan yang dilakukan terhadap laman web itu dan sehingga hari ini, ia masih beroperasi.
Tambahnya, dia sudah memaklumkan pegawai SKMM akan hadir di pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi har ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pempengaruh dakwa dipanggil MCMC selepas tawar ‘scrut’ Nurul Izzah