KUALA LUMPUR – Permohonan maaf oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung kesilapan paparan Jalur Gemilang merupakan jalan mudah untuk menutup ‘bangkai di depan mata’ yang memalukan, kata Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Shahrulutfi Sharif.
Beliau mendakwa, KPM telah gagal mendaulatkan Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan negara dan tidak semudah untuk sekadar memohon maaf.
Katanya, KPM mesti mengambil tanggungjawab moral di atas kecuaian dan kelemahan yang berlaku.
“Apakah ia berlaku untuk imbangi kehilangan bulan sabit di Jalur Gemilang olih Akhbar Sin Chew Daily sebagai mesej alih pandangan kononnya kesilapan tidak sengaja. Bak kata pepatah sekilas ikan di air sudah nampak jantan betinanya.
“Tindakan tegas mesti dikenakan kerana setiap kesilapan, apatah lagi yang berkaitan dengan kedaulatan negara wajib dihukum,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulutfi menegaskan, KPM gagal memastikan ketepatan dan penghormatan terhadap simbol kebangsaan, Jalur Gemilang dan kesilapan itu mencerminkan kelemahan dalam kawalan kualiti dan pengurusan dalaman KPM yang amat ketara dan mendukacitakan.
Justeru Putra mendesak agar tindakan tatatertib diambil terhadap individu yang bertanggungjawab atas kesilapan tersebut.
Malah menteri, ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah mesti mengambil tanggungjawab moral diatas peristiwa meremehkan Jalur Gemilang itu.
“Isunya bukan 3R atau rasis…ia soal kedaulatan negara, ia bukan soal kaum, ia soal rule of law atau soal undang-undang negara.
“Bangsa apa pun mencemar atau menodai kedaulatan negara wajib dikenakan hukuman.
“Menteri Pendidikan boleh meletakkan jawatan sebagai tanda mengambil tanggungjawab yang bermaruah, kalau ada maruah dan KSU dan KP Pendidikan dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Beliau menambah, permohonan maaf sahaja tidak mencerminkan akauntabiliti dan Putra menuntut penjelasan terperinci mengenai punca kesilapan tersebut serta langkah-langkah pencegahan yang akan diambil.
“Namun sejarah sentiasa berulang walaupun di beri jaminan tidak akan berlaku lagi,” ujarnya.
“Kesilapan itu telah menjejaskan imej dan maruah negara dan Putra menyeru semua pihak mengambil pengajaran dan memastikan simbol kedaulatan negara saperti Jalur Gemilang, Lagu Negaraku, Rukun Negara dan Asas Perlembagaan Negara 153 sentiasa dihormati, dipatuhi dan dipertahankan ketitisan darah yang terakhir,” katanya. – MalaysiaGazette