Tangkap layar video tular kanak-kanak beri anak kucing kepada anjing dan digigit sehingga mati

KUANTAN – Tindakan kejam tiga kanak-kanak lelaki yang menyeksa seekor anak kucing sehingga mati dengan memberinya kepada anjing untuk digigit mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet.

Bukan itu sahaja, tindakan mereka yang bersahaja memanjat masuk ke dalam kawasan kediaman tanpa kebenaran juga mendapat kecaman ramai.

Video klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian dipercayai berlaku di Seri Setali, di sini tular di media sosial Facebook sejak semalam selepas dikongsi seeorang pengguna bernama Chow Ling Ling yang mendakwa pemilik kediaman di lokasi itu.

Dalam klip video berdurasi kira-kira seminit 40 saat itu, kanak-kanak lelaki tersebut mulanya kelihatan beriadah dan bermain bola di tepi kediaman yang berpagar berkenaan.

Dua ekor anjing juga kelihatan mundar-mandir di dalam rumah itu dan menyedari kehadiran mereka.

Namun, kemudian kelihatan salah seorang mereka membawa objek dipercayai seekor anak kucing dan mula mengacukannya kepada anjing-anjing yang berada di sebalik pintu pagar rumah.

“Tiga kanak-kanak ini masuk ke rumah saya tanpa kebenaran dan meletakkan anak kucing malang itu di celah kecil pintu saya dan membiarkan anjing saya menggigitnya sehingga mati,” katanya dalam hantaran tersebut.

Salah seorang pengguna di ruangan komen menyuarakan kebimbangan dengan kelakuan yang tidak berperikemanusiaan dipamer kanak-kanak itu.

“Budak-budak ni kategori jahat tau, bukan nakal. Kalau dah ada naluri suka tengok hidupan lain mati atau terseksa maksudnya ada masalah mental.

“Kalau tak dibendung, mungkin suatu hari nanti akan jadi pembunuh,” kata Shwni Ishk.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi MalaysiaGazette bagaimanapun memberitahu masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here