KUALA LUMPUR – Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad terkejut dengan dakwaan cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) Singapura.
Menurut beliau, hantaran tersebut hanya bertujuan melaporkan penyertaan beberapa calon Islam daripada parti pembangkang serta seorang calon muda daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
“Saya hanya melaporkan tentang beberapa calon Islam yang menonjol daripada parti pembangkang yang menyertai pilihan raya. Saya juga memuat naik video seorang calon muda Islam dari PAP yang memperkenalkan dirinya kepada para pengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap dakwaan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Singapura yang mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa contoh Iklan Pilihan Raya Online (OEA) yang dimuat naik di Facebook oleh warga asing termasuk dua pemimpin Pas.
Laporan media republik itu mendakwa, beliau dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar telah dikenal pasti cuba campur tangan dalam PRU2025 Singapura.
Tambah Iskandar, majoriti pengikut di Facebook beliau terdiri daripada rakyat Malaysia beragama Islam, dan oleh itu kandungan tersebut dibuat untuk tontonan tempatan.
“Walaupun sebahagian hantaran saya ditulis dalam Bahasa Inggeris, ia ditujukan untuk rakyat Malaysia, bukan untuk pengundi di seberang Tambak.
“Saya tidak pernah menggesa pengundi untuk mengundi mengikut garis kaum atau agama. Walau bagaimanapun, saya memang ada menyatakan harapan agar beberapa calon Islam ini menang, namun saya tidak mengenali mereka secara peribadi dan tidak pernah bertemu dengan mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, bekas Naib Presiden Pas itu turut menegaskan beliau tidak pernah menghasut rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan kaum atau agama, sebaliknya hanya menyuarakan harapan agar ada calon Islam yang berjaya.
Beliau turut menekankan bahawa sebagai seorang ahli politik, adalah wajar untuk mengikuti dan mengulas perkembangan politik luar negara.
“Saya pernah menulis panjang lebar tentang politik di United Kingdom dan berharap kemenangan berpihak kepada Parti Buruh. Tapi tak masuk akal untuk menuduh saya campur tangan dalam pilihan raya negara itu,” katanya.
Katanya, beliau juga pernah memberi ulasan terhadap politik di negara lain tanpa sebarang masalah dan menganggap tindakan kali ini sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Saya tidak rasa laman Facebook saya itu berpengaruh, bahkan di Malaysia pun tidak. Jadi saya sangat terkejut apabila ia disekat dan tidak boleh diakses di republik itu,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Iskandar menyuarakan kebimbangan beliau bahawa tindakan tersebut mungkin mempunyai motif tertentu.
“Saya masih tertanya-tanya apa tujuan sebenar di sebalik sekatan itu. Saya harap ia bukan usaha untuk mengaitkan parti saya dengan pembangkang Singapura, kerana itu satu tuduhan yang sangat keterlaluan,” katanya.
Tegasnya, beliau menghormati sistem demokrasi Singapura dan tidak pernah berniat untuk mencampuri urusan politik negara jiran itu.
Beliau menyeru agar semua pihak tidak terburu-buru membuat tuduhan melulu tanpa memahami konteks sebenar.
“Tindakan menuduh saya sedemikian hanya menimbulkan kekeliruan dan mengaburi perbincangan politik yang sihat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette