KUALA LUMPUR – Isu nelayan tersasar yang selama ini membayangi hubungan maritim Malaysia-Indonesia akhirnya mendapat penyelesaian konkrit apabila kedua-dua negara bersetuju mengutamakan pendekatan diplomatik berasaskan amaran.
Keputusan itu dicapai hasil pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dalam lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Jakarta, di Istana Merdeka, baru-baru ini.
Lawatan rasmi Ahmad Zahid ke Indonesia minggu lalu menyaksikan bagaimana diplomasi bijaksana mengubah suasana — dari ketegangan maritim kepada peluang membina persahabatan baru.
Dalam setiap butir perbincangan, jelas memperlihatkan Ahmad Zahid dan Presiden Prabowo Subianto berbicara bukan semata-mata sebagai pemimpin negara, tetapi sahabat serumpun yang memahami denyut nadi rakyat mereka.
Isu nelayan yang selama ini menjadi ‘duri’ dalam hubungan dua negara akhirnya diangkat keluar dari bayang-bayang sengketa. Kedua-dua pemimpin mencapai kata sepakat untuk menghidupkan semula pendekatan amaran berasaskan Memorandum Persefahaman (MoU) 2012.
Sewaktu Ahmad Zahid mengumumkan keputusan itu, suasana bilik mesyuarat terasa lebih ringan.
“Ini adalah manifestasi hubungan erat dan semangat kejiranan yang mahu kita terus kukuhkan,” katanya, dengan keyakinan yang sukar disangkal.
Penulis dapat melihat senyuman kecil di kalangan pegawai kanan kedua-dua negara. Mungkin kerana mereka tahu, dalam dunia hari ini, penyelesaian kecil di peringkat rakyat adalah kemenangan besar dalam arena diplomasi.
Ahmad Zahid dengan lantang menegaskan nelayan sepatutnya menjadi jambatan persahabatan, bukan punca perselisihan. Kata-kata ini disambut baik oleh Prabowo, yang turut menggesa agensi-agensi penguatkuasaan memperhalusi mekanisme pelaksanaan.
“Semangat persaudaraan ASEAN mesti diangkat dalam semua urusan maritim,” tegas Prabowo, dengan nada suara yang penuh tekad. Ia bukan sekadar kenyataan politik, tetapi satu komitmen moral kepada keamanan serantau.
Bagi penulis, inilah nilai sebenar diplomasi serumpun — keberanian untuk memilih jalan damai walaupun berhadapan dengan tekanan domestik dan sentimen nasionalisme yang kadang-kala membakar.
Sebelum ini, penahanan nelayan sering kali mencetuskan ketegangan politik dan liputan media sensasi. Namun ketika itu, penulis melihat satu usaha serius untuk menamatkan kitaran itu dengan kepercayaan dan persefahaman.
Penyelesaian isu nelayan ini mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pemerhati luar. Namun bagi keluarga nelayan di Perlis, Kelantan, Acheh atau Riau, keputusan ini membawa makna hidup — rezeki tanpa rasa takut.
Lebih menarik, Ahmad Zahid tidak berhenti di situ. Beliau turut menggunakan peluang pertemuan ini untuk membuka lembaran baharu dalam kerjasama industri halal dan pengurusan pekerja migran, membuktikan bahawa lawatan ini bukan sekadar ceremonial (upacara rasmi).
Cadangan untuk membentuk Majlis Halal ASEAN dan memperkenalkan sistem ‘single window’ bagi pekerja migran membayangkan visi jangka panjang yang lebih besar: menjadikan hubungan Malaysia-Indonesia lebih produktif dan berdaya tahan.
Sebagai wartawan, saya meninggalkan Istana Merdeka dengan satu keyakinan — bahawa diplomasi yang tulus, berteraskan kepentingan rakyat, masih mampu mengubah dunia. Dan di Jakarta pada hari itu, Ahmad Zahid dan Prabowo telah membuktikannya. – MalaysiaGazette