Gregory (kiri) berbual dengan peguamnya, David Dev Peter di luar kamar mahkamah sebaik Hakim selesai menyampaikan keputusan semakan keputusan terbuka Mahkamah Koroner. Gambar kecil kiri - Anna Jenkins.

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan terbuka Mahkamah Koroner bahawa tiada bukti konklusif untuk mengklasifikasikan kematian warga Australia, Annapuranee Jenkins atau lebih dikenali sebagai Anna Jenkins, sebagai pembunuhan.

Hakim Rofiah Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati kematian Anna tidak dapat dipastikan kerana tiada keterangan kukuh dikemukakan dalam inkues berkenaan.

Jelasnya, mahkamah mengikut kepada keterangan yang telah dikemukakan sebelum ini dan tidak boleh membuat keputusan berdasarkan spekulasi semata-mata.

“Meskipun terdapat inferens kemungkinan ada penglibatan pihak ketiga namun ia masih kekal sebagai spekulasi kerana tiada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan tersebut.

“Mahkamah juga berpendapat bahawa tahap bukti yang diperlukan untuk menukar keputusan kepada kesalahan yang lebih berat seperti pembunuhan (homicide) adalah sangat tinggi, dan dalam kes ini, bukti yang ada tidak mencukupi,” katanya hari ini ketika menyampaikan keputusan menyemak semula keputusan terbuka Mahkamah Koroner.

Permohonan semakan itu difailkan oleh anaknya, Gregory Steven Jenkins berikutan keputusan Mahkamah Koroner pada Mei 2023 mengisytiharkan keputusan terbuka dalam inkues Anna Jenkins.

Turut sama dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan peguam mewakili Gregory, David Dev Peter.

Tambah Rofiah, mahkamah turut mengambilkira siasatan awal hanya dijalankan dalam kerangka orang hilang dan bukan siasatan jenayah seperti penculikan atau pembunuhan.

Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai ‘amat malang’ namun menegaskan bahawa kecurigaan sahaja tidak mencukupi untuk mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai pembunuhan.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi tiada pilihan selain mengekalkan keputusan tersebut namun membenarkan siasatan berhubung kes ini diteruskan.

“Mahkamah bukan dalam posisi untuk mengarahkan siasatan lanjut dibuat namun Timbalan Pendakwa Raya mempunyai budi bicara mengikut Kanun Prosedur Jenayah untuk mengarahkan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kematian Jenkins,” katanya.

Sementara itu, Gregory ketika ditemui di luar mahkamah mengucapkan terima kasih kepada hakim Mahkamah Tinggi kerana melihat semua bukti yang telah dikemukakan dan hujah-hujah daripada peguamnya berbanding mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berharap Timbalan Pendakwa Raya selepas berunding dengan peguamnya, akan bersetuju untuk membuka semula siasatan untuk kes pembunuhan.

Untuk rekod, Anna Jenkins dilaporkan hilang pada 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang, sebelum rangka tulangnya ditemui berhampiran tapak sebuah banglo pada 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here