Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (tengah) dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan PEKA Simpan SSPN Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis. Foto PTPTN

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama melaksanakan Program Permata Kasih (PEKA) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis.

PTPTN dalam kenyataannya hari ini berkata, program itu bakal memberi manfaat kepada anak-anak asnaf yang baharu dilahirkan di negeri itu.

Katanya, program tersebut inisiatif MAIPs dan PTPTN dalam usaha memperkasa pendidikan anak-anak asnaf sejak awal kelahiran mereka sekali gus melahirkan generasi celik kewangan.

Tambahnya, menerusi program itu, sumbangan berjumlah RM400,000 disampaikan oleh MAIPs melalui PTPTN dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime untuk manfaat 2,000 orang anak asnaf kelahiran baharu di Perlis mulai 1 April 2025.

Penerima sumbangan merupakan anak asnaf kelahiran baharu di Perlis, warganegara Malaysia dan beragama Islam.

Senarai penerima insentif itu akan diuruskan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama agensi dan pihak-pihak yang terlibat di Perlis.

Setiap anak asnaf yang layak akan menerima RM200 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime yang merupakan antara permulaan simpanan pendidikan bagi masa depan mereka.

Majlis peluncuran Program Permata Kasih (PEKA) Simpan SSPN Bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, di Kangar, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan baginda terhadap PTPTN dan MAIPs di atas usaha murni tersebut.

Titah baginda, pelaksanaan insentif kelahiran ini melambangkan keprihatinan MAIPS dan PTPTN untuk memastikan masyarakat Perlis khususnya anak-anak asnaf mempunyai tabungan untuk pendidikan tinggi sekali gus melahirkan generasi celik kewangan.

“Sesungguhnya, pendidikan merupakan kunci kepada perubahan untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

“Dengan pendidikan, anak-anak berpeluang mendapat pekerjaan yang lebih baik dan menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Pendidikan membolehkan seseorang mencari rezeki, mengatur kewangan dan mendidik generasi akan datang. Paling bermakna, pendidikan mampu menjadikan penerima zakat hari ini sebagai pemberi zakat pada masa hadapan,” titah baginda.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa berusaha memperkasa penabungan.

Tambah Ahmad Dasuki, agenda utama PTPTN adalah untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.

“Agenda penabungan merupakan misi PTPTN bagi mentransformasi minda masyarakat daripada “meminjam” kepada “menabung” agar anak- anak tidak dibelenggu hutang setelah tamat pengajian.”

“PTPTN sentiasa mengalu-alu kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, syarikat korporat dan pelbagai pihak untuk membantu golongan asnaf, terutama dalam aspek

“Semoga Program Permata Kasih (PEKA) Simpan SSPN bagi Kelahiran Baharu Anak Asnaf Negeri Perlis akan memberi sinar baharu kepada keluarga asnaf agar mengutamakan pendidikan tinggi untuk mengubah nasib keluarga,” tambah beliau.

PTPTN telah mewujudkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan.

Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan untuk manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan individu ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here