Oleh Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail
LANSKAP kesihatan mental belia di Malaysia kini berada di persimpangan kritikal, diwarnai oleh kecenderungan yang semakin membimbangkan—iaitu kecelaruan antara tekanan emosi yang bersifat sementara dengan gangguan psikiatri yang sebenar. Kajian terdahulu seperti National Health and Morbidity Survey (NHMS) menunjukkan pola peningkatan laporan gejala keresahan dan kemurungan dalam kalangan remaja, namun para pakar kesihatan mental menegaskan sebahagian besar laporan ini harus ditafsir dengan berhati-hati kerana tidak semua berpunca daripada gangguan mental yang sahih secara klinikal.
Gejala fenomena ini semakin diperhebatkan oleh budaya digital, yang kecenderungan untuk mendiagnosis diri sendiri tanpa bimbingan profesional—sering dipacu oleh informasi separa benar di media sosial, mencetuskan apa yang dalam sosiologi disebut sebagai kecenderungan ‘patologisasi kehidupan seharian’ iaitu tindakan memandang pengalaman emosi normal sebagai sesuatu
yang patologikal.
Dari sudut psikologi, garis pemisah antara eustress (tekanan positif yang merangsang adaptasi) dan distress (tekanan negatif yang berpotensi memudaratkan) adalah suatu prinsip asas yang tidak boleh dikompromikan. Namun, dalam konteks budaya popular masa kini, sempadan ini tampak semakin kabur. Konsep “worried well”—satu istilah yang diiktiraf dalam bidang psikiatri—merujuk kepada individu yang menunjukkan kebimbangan terhadap kesihatan mental tanpa manifestasi penyakit yang sahih.
Fenomena ini membawa kesan yang bukan sekadar membebankan sumber kesihatan mental yang terhad, malah secara tidak langsung memupuk budaya yang menormalisasi kerapuhan emosi dan meminggirkan nilai daya tahan psikososial yang sepatutnya digalakkan dalam kalangan belia. Teori dramaturgi oleh Erving Goffman menawarkan kerangka yang amat berguna dalam memahami dinamika ini.
Menurut kerangka tersebut, individu, khususnya belia digital cenderung untuk membentuk dan mempamerkan identiti mereka berdasarkan naratif yang memberi nilai tambah kepada posisi sosial mereka. Dalam konteks ini, dakwaan tentang isu kesihatan mental kadang kala dijadikan alat untuk mengukuhkan kedudukan dalam komuniti maya, lalu lahirlah fenomena ‘performatif kesihatan mental’.
Ini merupakan satu bentuk pemakluman awam tentang penderitaan yang tidak semestinya bertujuan untuk mendapatkan rawatan, tetapi lebih kepada mendapatkan penerimaan atau pengesahan sosial. Akibatnya, suara dan keperluan sebenar mereka yang benar-benar menderita akibat gangguan mental yang serius berisiko tenggelam dalam arus naratif yang didorong oleh keperluan sosial semata-mata.
Dari sudut klinikal, risiko terbesar yang timbul adalah fenomena yang disebut sebagai diagnostic overshadowing, simptom yang ringan atau bersifat sementara diberikan penilaian yang berlebihan sehingga mengaburkan diagnosis bagi kes-kes yang benar-benar memerlukan intervensi mendalam. Para psikiatri telah menyatakan kebimbangan mengenai kecenderungan sesetengah individu untuk mendapatkan rawatan farmakologi secara tergesa-gesa tanpa melalui proses penilaian psikologi yang teliti.
Situasi ini bukan sahaja membahayakan keselamatan pesakit, malah menjejaskan integriti proses diagnostik itu sendiri, yang sepatutnya dijalankan dengan ketelitian metodologikal yang ketat. Kesimpulannya, meskipun usaha untuk memperkasa wacana kesihatan mental dalam masyarakat adalah sesuatu yang amat dialu-alukan, kita harus berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam perangkap normalisasi kerapuhan dan pencairan makna kesihatan mental itu sendiri.
Perlu ada satu keseimbangan yang tuntas, antara membudayakan empati terhadap mereka yang benar-benar terjejas dan memastikan bahawa ketulenan diagnosis serta rawatan yang beretika tetap menjadi prinsip yang tidak dapat digadaikan. Di sinilah terletaknya cabaran kita sebagai masyarakat moden yang ingin melangkah ke hadapan dengan kematangan psikososial yang tulen.
Penulis merupakan Pensyarah dari Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia