KUALA LUMPUR – World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sebuah pusat pameran dagangan antarabangsa terkemuka, mengumumkan pelantikan Fauzy Wahab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 Mei 2025.
Fauzy, telah berkhidmat di WTCKL sejak 2019 sebagai Ketua Pegawai Operasi, memainkan peranan penting dalam mengemudi WTCKL melalui pelbagai cabaran, termasuk fasa perintah kawalan pergerakan ketika pusat ini menjadi pusat vaksinasi mega sewaktu negara dalam usaha pemulihan daripada Covid19.
Beliau juga terbabit dalam transformasi dan penjenamaan semula PWTC kepada entiti WTCKL pada tahun 2018.
Dengan pengalaman lebih 26 tahun dalam industri hospitaliti, Fauzy berhasrat untuk membawa WTCKL ke peringkat yang lebih tinggi, memperkukuh kedudukannya sebagai pusat acara ikonik di rantau ini.
“Dunia perniagaan semakin mencabar, terutamanya bagi pusat konvensyen seperti WTCKL. Walaupun kami amat berbangga dengan status ikonik yang dimiliki, WTCKL perlu terus berusaha untuk berdaya saing khususnya dalam menyediakan nilai tambah bagi perkembang perniagaan yang lebih pesat.
“WTCKL bukan hanya pusat dagangan antarabangsa, tetapi kami juga berhasrat untuk menjadi pengurus prasarana acara yang utama di negara ini.
“Pusat konvensyen WTCKL kini lebih bersifat diversiti dalam rangkuman acara yang diadakan. Ia bukan sekadar hub pameran dan acara perniagaan, tetapi juga menjadi destinasi utama bagiacara gaya hidup seperti konsert, festival jualan raya, sesi ramah mesra bersama bintang antarabangsa termasuk atlet, serta pelbagai acara sosial dan korporat yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette