SHAH ALAM – Kerajaan akan membincangkan keperluan bagi memperluaskan inisiatif FLYSiswa kepada mahasiswa di universiti tempatan yang menawarkan subsidi tiket penerbangan kepada pengangkutan darat khususnya kepada pelajar Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tahunan oleh Kementerian Pengangkutan itu mungkin boleh diperluaskan kepada mahasiswa yang memerlukan kadar khusus bagi perjalanan atau destinasi tertentu di Semenanjung.
“Kenapa FLYSiswa untuk Sabah dan Sarawak sahaja? Sebab kita semua maklum tiket penerbangan ke sana itu mahal, terutama ketika musim perayaan jadi kita putuskan untuk bantu (mahasiswa Sabah dan Sarawak).
“Mengenai FLYSiswa di Semanjung, saya akan bincang dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke), mungkin untuk kawasan tertentu kita boleh bincangkan pelaksanaannya,” katanya dalam Program Temu Anwar Universiti Swasta Management and Science University (MSU), hari ini.
Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan seorang mahasiswa yang mencadangkan agar kerajaan memperluas inisiatif FLYSiswa kepada pengangkutan darat untuk pelajar di Semenanjung.
Inisiatif FLYSiwa adalah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan merancang untuk memperluaskan program Felo Perdana kepada pelajar universiti.
Jelasnya, satu model sedang dirangka Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bagi mengembangkan program tersebut.
Tambah beliau, ia bagi membuka ruang dan peluang kepada golongan muda menimba pengalaman daripada kepimpinan negara dalam program tersebut.
“Kita akan bincang supaya mereka yang tidak berpeluang menyertai Program Felo Perdana diberi ruang lain untuk bertemu dan belajar sesuatu dengan pimpinan kerajaan, Menteri dan Timbalan Menteri.
“Perkara ini sedang diuruskan oleh Akademi Kenegaraan (Malaysia) dan pihak lain yang berkaitan bagi bolehkan lebih ramai golongan belia menimba ilmu berkenan pentadbiran dan budaya kerja,” katanya.
Program Felo Perdana yang memasuki tahun kesepuluh jelas Anwar, mampu menjadi platform kepada peserta program ini untuk memahami dasar-dasar negara.
Felo Perdana merupakan program berbentuk mentor dan lantihan industri dengan matlamat melahirkan golongan belia yang dinamik, berdaya saing, mempunyai pengetahuan yang relevan berkaitan sistem pentadbiran negara dan bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang selaras dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.
Menerusi program tersebut, peserta akan mendapat bimbingan dan menimba pengalaman berkhidmat secara terus daripada Jemaah Menteri.
Setiap menteri diperuntukkan dua peserta Felo Perdana dan seorang bagi Ketua Setiausaha Negara (KSN). – MalaysiaGazette