MERSING – Seorang warga emas maut selepas tersepit dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 13, Jalan Jemaluang-Endau, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pukul 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Zubir Mohamed, 63, pemandu Toyota Camry maut di lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Toyota Camry dari arah Johor Bahru menuju ke Mersing dipercayai telah hilang kawalan.
“Kenderaan mangsa kemudiannya bertembung dengan sebuah Toyota Estima yang datang dari arah bertentangan dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, pemandu Toyota Camry disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Jelasnya, pemandu Toyota Estima pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan I Anuar Hussien berkata, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian membantu operasi itu.
Katanya, dalam kemalangan itu seorang mangsa keluar sendiri dalam keadaan selamat manakala seorang lagi menaiki Toyota Camry tersepit dalam kereta.
“Pasukan keluaran operasi bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dibawa keluar.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak polis. Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette