KUANTAN – Seramai 2,000 peserta himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini, Ahad lalu sebulat suara menunjukkan sokongan padu terhadap tindakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam isu pencerobohan tanah.
Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, himpunan itu membuktikan rakyat bersama Al-Sultan Abdullah dalam menangani isu berkenaan dan mengutuk keras tindakan segelintir pihak yang berani menentang titah baginda.
”Inilah bukti kesetiaan rakyat Pahang kepada institusi diraja. Kejayaan Himpunan Penyatuan Ummah Pahang ini membuktikan bahawa rakyat Pahang, terutamanya umat Islam masih mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
”Himpunan ini juga telah berjaya menyoroti isu terkini yang mencabar kedaulatan Sultan Pahang, terutamanya berkaitan pencerobohan tanah hutan simpan untuk penanaman durian secara haram,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Aireroshairi, isu tersebut bukan sahaja melibatkan pencerobohan harta awam, tetapi juga satu bentuk penderhakaan terhadap titah baginda yang melarang aktiviti tersebut daripada berleluasa.
Tambah beliau, himpunan itu adalah kesinambungan semangat untuk memperjuangkan maruah Melayu dan Islam, bukan untuk menyisihkan bangsa-bangsa lain di Malaysia.
“Seperti mana orang Cina dan India sentiasa memperjuangkan kepentingan bangsa mereka, orang Melayu juga mempunyai hak yang sama untuk mempertahankan hak dan kedudukan mereka di tanah air sendiri.
“Apa yang kita perjuangkan adalah berdasarkan perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu, bukan penindasan terhadap bangsa lain, katanya. – MalaysiaGazette