MELAKA – Sebanyak 82 syarikat kontraktor di Melaka dikenakan kompaun antara RM2,500 hingga RM250,000 selepas didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 1994 (Akta 520).
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz berkata, jumlah itu daripada 170 kontraktor yang diperiksa di 121 tapak binaan di Melaka tahun ini.
“Jumlah kompaun yang dikenakan terhadap 82 syarikat ini pula merangkumi pelbagai kesalahan mengikut jenis kesalahan.
“Antaranya menjalankan kerja pembinaan tanpa Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) dan penggunaan bahan binaan tanpa perakuan CIDB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) 1/2025 di tapak pembinaan sebuah kilang di Batu Berendam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Farris berkata, sebanyak 1,578 projek telah diisytiharkan di Melaka tahun ini di bawah Sistem Pengurusan Industri Pembinaan (CIMS) dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.6 bilion.
“CIDB Melaka telah melakukan 535 pemeriksaan meliputi akreditasi, bahan binaan, personel binaan, kontraktor serta pengisytiharan projek dan hasilnya sebanyak 64 kertas siasatan telah dibuka.
“Selain itu, sebanyak 157 notis telah dikeluarkan dan 34 kesketidakpatuhan telah direkodkan dengan kes kegagalan mengisytihar projek mencatat peratusan tertinggi sebanyak 47.06 peratus,” tambahnya.
Setakat hari ini, CIDB Melaka merekodkan 4,057 kontraktor berdaftar dan seramai 28,367 pekerja binaan am, 2,757 pekerja binaan mahir, 2,874 pengurus projek binaan serta 242 penyelia binaan. – MalaysiaGazette