KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan anak muda tempatan terus menimba ilmu dan mencari kaedah serta pendekatan baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.

Menurut Perdana Menteri, ia sebagai satu langkah negara membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi domestik demi memacu kejayaan negara dalam setiap aspek.

Ujarnya, pengggunaan  sumber tenaga dan kepakaran tempatan itu turut membolehkan Malaysia mempunyai dasar yang jelas untuk memberi keutamaan dalam setiap urusan pembangunan dan perniagaan.

“Kita bukan hanya bergantung kepada kekuatan luar, sebaliknya perlu membina kekuatan dalaman terlebih dahulu atau disebut daya tahan ekonomi domestik.

“Walaupun kita menggunakan teknologi asing, kaedah baharu perlu dicari dan ini ditentukan anak muda. Mereka mesti kuasai ilmu yang lebih baik daripada generasi masa kini.

“Saya bagi contoh kadar tarif solar Amerika Syarikat (AS) yang dinaikkan terlalu tinggi. Adakah kita perlu serang balik? Jawapannya tidak. Sebaliknya kita galakkan guna solar tempatan di hospital dan sekolah. Ini keupayaan kita” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) meluncurkan peluang pekerjaan dan penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan ECRL diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tiga kanan), Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (kiri) di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 MEI 2025

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengesahkan syarikat-syarikat antarabangsa mengesahkan komitmen pelaburan terhadap Malaysia ketika berdepan ketegangan ekonomi global.

Perdana Menteri berkata, syarikat termasuk Jepun, Bahrain dan China memilih dan komited terhadap negara yang merupakan antara rangka strategi kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi.

“Bagi pihak Perdana Menteri Jepun menyatakan mereka akan terlibat secara langsung dalam projek-projek pembangunan termasuk macam kita sebut ECRL dari Kota Bharu ke Gombak, ini juga dari Vietnam ke Kota Bharu guna grid nasional turun ke Johor sampai ke Singapura,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here