Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki mengedar dadah membawa padah apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan ke atas mereka atas kesalahan mengedar lebih 32 kilogram methampetamine dianggarkan bernilai jutaan ringgit dalam pasaran gelap.

Ketiga-tiga tertuduh, S Uvaraja, 48, R Kalaikumar, 40 dan K Paarthiban, 38, yang masing-masing bekerja sebagai penarik kereta dan pemandu lori didapati bersalah mengedar dadah di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan kira-kira pukul 5.35 petang pada 18 Jun 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan hukuman itu selepas mempertimbangkan fakta kes dan keseriusan jenayah yang dilakukan.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh penangkapan mereka iaitu 18 Jun 2019.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mereka berdepan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dengan sebatan minimum 12 kali namun mahkamah memilih untuk mengenakan hukuman penjara seumur hidup dengan sebatan sesuai dengan keadaan kes.

Dalam pada itu, salah seorang tertuduh, Uvaraja turut dihukum penjara dua tahun bagi dua lagi pertuduhan berasingan selepas didapati memiliki sejumlah kecil jenis heroin dan monoacetylmorphines di lokasi dan tarikh sama.

Untuk kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here