ISKANDAR PUTERI – Pemandu yang ditahan berhubung kes seorang budak lelaki berusia lima tahun tidak sedarkan diri dalam van sekolah di Taman Bukit Indah, di sini, minggu lalu, akan didakwa esok.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M Kumarasan berkata, suspek lelaki tempatan berusia 56 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.
“Sebelum ini suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 Mei lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak.
Pada 1 Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah selepas dipercayai tertinggal dalam kenderaan itu selama hampir lima jam di Taman Bukit Indah, Rabu lalu.
Kumarasan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Jelasnya, mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah dikatakan menaiki van dari kediaman keluarganya sebelum tiba di hadapan tadika kira-kira pukul 7.30 pagi.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di kawasan Taman Bukit Indah pada pukul 2.40 petang hari yang sama.- MalaysiaGazette