MELAKA – Polis Melaka turut menahan seorang penganggur selepas dipercayai terlibat bersama isterinya mendera bayi lelaki mereka berusia dua bulan sehingga parah di rumahnya di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, di sini, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 6.30 petang tadi.
“Pasangan suami isteri muda beralamat di Semenyih, Selangor itu ditahan di hadapan Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka bersangkut kes yang disiasat.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek bagaimanapun mendapati negatif dadah,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah akibat pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera ibunya di rumahnya di Sungai Petai, Alor Gajah, di sini semalam.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mendakwa kononnya diserang sawan sebelum meninggalkannya di situ.
Menurut sumber, bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Melaka tengah malam tadi sebelum doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.
Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera. – MalaysiaGazette
Bayi dua bulan alami pendarahan dalam kepala disyaki didera ibu