BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga emas yang didakwa atas pertuduhan membunuh rakannya bulan lalu mencuri perhatian apabila sempat menunjukkan isyarat ‘peace’ ketika diiring polis masuk ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh berusia 70 tahun itu kelihatan tenang dan tersenyum meskipun berdepan pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 63 tahun.
Bagaimanapun pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yee Fat Seong, 70, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran susulan kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa membunuh Loo Ah Teong di sebuah pondok rehat di Lot 1752, Jalan Kolam, Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam dekat sini, antara jam 2 hingga 3.22 petang pada 27 April lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes itu akan disebut semula 30 Jun depan.
Media pada 28 April lalu melaporkan perselisihan faham antara seorang lelaki tempatan dan rakannya sejak tiga hari lalu berakhir dengan tragedi berdarah apabila mangsa maut ditikam dalam kejadian di sebuah pondok di Cherok Tokun di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati semasa kejadian, mangsa berusia 63 tahun itu bersama lima rakan lain termasuk suspek sedang duduk bersembang di pondok tersebut.
“Bagaimanapun, suspek berumur 70 tahun itu secara tiba-tiba datang dari arah belakang dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu sehingga menyebabkan dia rebah ke lantai.
“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian disebabkan belaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sejak tiga hari lalu dan berlarutan sehingga ke hari kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette