KUALA LUMPUR – Dua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menggalas jawatan timbalan presiden parti itu sekali gus menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sokongan itu disuarakan Timbalan Ketua Cabang PKR Beaufort, Bodingin Gilong dan dua pemimpin sayap Wanita PKR Cabang Semporna iaitu timbalannya, Melati Hasaman dan naib ketuanya, Rosalina Mustafa.
Dalam kenyataan hari ini, mereka menyifatkan Saifuddin Nasution gandingan terbaik yang diperlukan untuk bersama-sama Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memimpin parti tersebut.
Menurut Bodingin, Saifuddin Nasution bukan sahaja mempunyai pengalaman malah memiliki kredibiliti serta kepimpinannya diyakini dapat membantu Anwar untuk mengemudi parti.
“Pemilihan kali ini cukup penting kerana kita bakal berdepan dengan pilihan raya umum yang cukup penting bagi menentukan kesinambung agenda Kerajaan MADANI.
“Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita memastikan parti dikemudi barisan kepimpinan yang diyakini dan disenangi rakyat, bukannya pemimpin yang sering mencetuskan kontroversi sehingga mengundang kecaman rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sokongan serupa turut dilahirkan Melati yang menyifatkan Saifuddin Nasution merupakan antara orang kepercayaan Anwar dan sering diberikan tugas serta peranan penting dalam apa juga situasi bagi membantu kepimpinan parti.
“Parti memerlukan seorang gadingan kepada presiden yang memahami aspirasi akar umbi, mesra rakyat dan tidak sombong,” katanya.
Sementara itu, Melati turut menyifatkan tindakan Rafizi bercuti panjang ketika negara berada dalam situasai mencabar memberi kesan kepada rakyat.
Apatah lagi, katanya, Rafizi yang memimpin Kementerian Ekonomi iaitu satu portfolio yang disifatkan mencabar, sekali gus menyukarkannya untuk memberi tumpuan kepada urusan parti.
“Atas sebab itu kami berpandangan adalah wajar supaya jawatan Timbalan Presiden PKR dipegang oleh Saifuddin Nasution,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan Saifuddin Nasution diberi laluan mudah untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR.
Kata Syed Badli, dalam perkembangan sekarang yang menyaksikan wujud spekulasi membabitkan Rafizi, Ahli Parlimen Pandan itu dicadang supaya berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin Nasution bagi menggalas tugas sebagai Timbalan Presiden PKR tanpa perlu dicabar. – MalaysiaGazette