Firdaus Wong Wai Hung

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong mempersoalkan mengapa masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan terhadap individu bernama Mohan Raj Thangaraju yang mengugut untuk membunuhnya selepas membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.

Beliau membangkitkan perkara itu kerana kertas siasatan kes tersebut telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, namun suspek masih bebas dan belum didakwa walaupun hampir dua bulan berlalu.

Menurutnya, pendakwaan juga tidak dilakukan meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesahkan mesej ugutan dihantar daripada telefon bimbit suspek yang turut mengaku melakukan perbuatan itu.

“Ia jauh berbeza dengan kes yang hampir sama terhadap Harith Iskander apabila individu bernama Izzuddin Md Salim yang membuat ugutan bunuh terhadap Harith Iskander dan keluarga telah ditahan pada 24 Jan 2025 dan didakwa pada 31 Jan 2025 iaitu seminggu sahaja dari tarikh suspek ditahan.

“Suspek ugut bunuh Harith Iskander dan ahli keluarga dijatuhkan hukuman penjara 5 bulan dan denda RM2,000 atas perbuatannya tetapi suspek kes saya masih belum lagi didakwa apatah lagi dihukum setelah hampir dua bulan!

“SKMM telah mengesahkan mesej tersebut dihantar dari telefon bimbit suspek dan suspek juga telah membuat pengakuan.

“Saya masih tertanya-tanya mengapa masih tiada lagi pendakwaan terhadap suspek kes ugutan bunuh terhadap saya?,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Pada 21 Mac lalu, media MalaysiaGazette melaporkan, Firdaus yang juga seorang pempengaruh media sosial menerima ugutan bunuh menerusi mesej peribadi di Facebook selepas beliau membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.

Katanya, apa dibangkitkan sebelum ini berkenaan undang-undang tentang pembinaan kuil haram sebagaimana dilaporkan media dan kajian.

Namun terdapat pihak tertentu yang beremosi tanpa fakta berhubung perkara itu sehingga membuat ugutan bunuh terhadapnya.

Firdaus menegaskan, beliau tidak gentar dengan ugutan yang diterimanya kerana beriman dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Susulan itu, Firdaus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, bagi tujuan keselamatan dirinya dan keluarga.

Firdaus turut menasihatkan sahabatnya semua agar tidak mengambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang.

Menurut Firdaus, suspek sebelum ini ditahan pihak polis pada 23 Mac lalu dan direman dua hari untuk disoal siasat. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Firdaus Wong terima ugutan bunuh

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here