KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi menjelaskan kenyataannya supaya pentadbiran Perikatan Nasional (PN) berubah sebelum ini bukan bermaksud mempersoalkan jawatan atau kedudukan mana-mana pihak.
Sebaliknya, beliau mahu PN membina pentadbiran lebih tangkas, cekap, dan kreatif dalam menghadapi kerajaan yang disifatkan semakin autoritarian.
Menurunya, kenyataan itu juga hanya peringatan supaya PN tidak sekadar bergantung kepada kekuatan individu, tetapi membina sebuah sistem yang berdaya tahan dan mampu menggerakkan kesedaran rakyat meskipun dengan sumber yang terhad.
“Saya menolak sebarang cubaan untuk memesongkan maksud tulisan tersebut kepada persoalan jawatan atau kedudukan mana-mana pihak.
“Fokus kita seharusnya ialah pada hala tuju, bukan pada figura semata-mata.
“Kita adalah satu perikatan, dan kejayaan kita bergantung kepada kebijaksanaan kita mengurus kekuatan kolektif,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Nadzir dalam satu kenyataan berkata, PN sedang menempah kegagalan sekiranya pentadbiran gabungan politik itu kekal statik, tidak progresif dan tidak tidak responsif terhadap cabaran semasa.
Kenyataan beliau itu sebagai sokongan kepada seruan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya rombakan dilakukan dalam pentadbiran PN yang turut disifatkan sebagai satu wake-up call yang tepat pada waktunya.
Menjelaskan lebih lanjut, Nadzir berkata, pandangan awal beliau itu juga lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap perjuangan bersama dalam PN.
Jelasnya, fokus utama beliau ialah keperluan untuk seluruh komponen dalam PN mula memikirkan pendekatan baharu yang lebih kreatif dan inovatif dalam mengurus tadbir gerakan politik gabungan itu.
“Kita sedang berdepan dengan musuh politik yang berbeza sifatnya. Mereka gemar membina naratif mengelirukan, mengeksploitasi kelemahan, dan gemar membina persepsi.
“Dalam konteks ini, pentadbiran dan pengurusan gerakan PN mesti berubah seiring cabaran, dengan strategi yang lebih segar dan keupayaan berfikir luar kotak,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, PN ketika ini berdepan cabaran utama termasuk tekanan politik dan intimidasi oleh kuasa, penyekatan suara pemimpin pembangkang, kekangan peruntukan, serta keperluan mendesak untuk membentuk pasukan media dan naratif yang mantap, yang kesemuanya memerlukan sumber dan pelaburan signifikan.
Tambahan pula, katanya, PN turut berdepan cabaran memupuk kembali jati diri anak muda Melayu-Islam dan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang semakin terhimpit dengan tekanan ekonomi dan survival kehidupan.
“Inilah asas kepada gesaan saya. Anak muda mesti berani berubah. Kita mesti mencipta gelombang baharu.
“Dan untuk itu, kita perlu keluar daripada kepompong biasa dan berani mencabar status quo—demi masa depan negara dan rakyat yang kita cintai,” katanya. – MalaysiaGazette