JOHOR BAHRU – Bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi kelestarian Pelan Tindakan Ekonomi Johor, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa ke-8 dalam Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan (ICTMBE 2025).
Bertemakan ‘Humanising Technologies Towards Sustainable Business and Economy’, persidangan itu menghimpunkan para akademik, pemimpin industri, pembuat dasar dan penyelidik dari seluruh ASEAN bagi membincangkan pendekatan mampan dalam pembangunan ekonomi negeri Johor.
Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin selaku wakil rasmi kepada Menteri Besar Johor.
Beliau dalam ucapan perasmian menekankan kepentingan kolaborasi strategik antara sektor akademik, industri dan agensi kerajaan dalam menjayakan agenda Johor menuju ekonomi yang lebih hijau dan inklusif.
Beliau berkata, inisiatif negeri seperti yang diterajui oleh Johor Talent Development Council (JTDC), Johor Skills dan South East Johor Development Authority (SEZ Johor) adalah antara usaha penting yang menyokong pelaksanaan Blueprint Ekonomi Johor yang mampan.
”ICTMBE adalah platform yang tepat dalam merangsang dialog antara akademia dan industri.
”Dengan penglibatan aktif agensi seperti JTDC, Johor Skills dan SEZ Johor, kita dapat memastikan pembangunan negeri ini bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga bersifat lestari,” katanya.
Acara kemuncak persidangan ini ialah sesi forum bertemakan ‘Integrating Sustainability into Johor’s Economic Blueprint’, yang menampilkan panel tokoh industri dan agensi pembangunan negeri.
Mereka membincangkan strategi praktikal untuk menerapkan kelestarian dalam Pelan Tindakan Ekonomi Johor serta menggariskan pentingnya kerjasama rentas sektor dalam membentuk masa depan yang mampan.
Menurut Pengerusi ICTMBE 2025, Prof. Madya Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi, persidangan itu menjadi medan penting dalam menjajarkan penyelidikan akademik dengan keperluan sebenar pembangunan negeri.
”Kami ingin melihat hasil penyelidikan ini diterjemah kepada dasar, amalan industri dan impak komuniti,” katanya.
Pelbagai kertas kerja yang dibentangkan memberi tumpuan kepada inovasi digital, teknologi hijau dan model perniagaan lestari.
Persidangan ini juga menggalakkan kolaborasi penyelidikan antarabangsa dan pemindahan pengetahuan merentas negara.
Kejayaan ICTMBE 2025 mencerminkan, komitmen UTHM dalam memainkan peranan sebagai peneraju pemikiran dalam bidang pengurusan teknologi dan pembangunan mampan di rantau Asia Tenggara. – MalaysiaGazette