Aiman Athirah Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) buat julung kalinya menganjurkan Simposium Reformasi Pengurusan Sisa Pepejal Negara 2025.

Timbalan menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, program berkenaan selaras dengan hasrat KPKT dalam  merealisasikan misi pengurangan karbon melalui pengurangan 15 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang 2030.

“Ia akan disokong teknologi bersih dan automasi pintar sebagai langkah ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian simposium tersebut di I-KPKT, Bukit Tinggi baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pembaharuan dasar, penggunaan teknologi hijau serta penglibatan komuniti dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal negara selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sebagai rekod, penganjuran simposium tersebut adalah bagi memperkukuhkan sistem pengurusan sisa pepejal di negara ini.

Ia juga merupakan platform bagi membincangkan pelbagai aspek berhubung pengurusan sisa pepejal negara yang perlu melalui reformasi.

“Selain itu, ia turut membuka ruang kepada penciptaan nilai baharu, peluang pekerjaan hijau dan inovasi teknologi,” katanya lagi.

Simposium dengan kerjasama Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) dan Waste Management Association of Malaysia (WMAM) itu turut menekankan keperluan beralih daripada sistem pelupusan linear kepada pemulihan sumber dan pelaksanaan ekonomi kitaran sejajar dengan Blueprint Ekonomi Kitaran 2024 dan komitmen kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 11 dan 12.

Pelbagai teknologi terkini turut diketengahkan termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam proses pemulihan bahan, sistem smart baling serta pendekatan waste-to-energy.

Forum bertajuk “Adaptation of AI in Solid Waste Management” turut diadakan dengan penyertaan panel tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran dan potensi pelaksanaan teknologi pintar secara menyeluruh dalam sektor ini.

Seramai 500 peserta iaitu terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, industri pengurusan sisa, akademik serta pakar antarabangsa menyertainya bagi membincangkan pendekatan baharu serta hala tuju strategik demi memartabatkan pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan dan berkesan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here