Prof Dr Rosli dan peserta selepas melancarkan Program KTP Nexus: Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja di Auditorium IBD, UTM Skudai, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) memperkenalkan Program KTP Nexus: Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja bertujuan membantu pelajar sekolah kategori B40 dan anak yatim.

UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu dilancarkan di Auditorium Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), UTM Skudai, di sini semalam yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Dr Rosli Md Illia.

“Program ini yang turut mendapat kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menyasarkan pelajar sekolah menengah daripada keluarga isi rumah berpendapatan terendah (B40) dan anak yatim sekitar lima kilometer kampus UTM.

“Ini melibatkan lima sekolah terpilih iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, SMK Taman Universiti 2, SMK Mutiara Rini, SMK Taman Desa Skudai, dan SMK Skudai,” menurut kenyataan itu hari ini.

UTM memberitahu, setiap pelajar menjalani proses pemprofilan menyeluruh merangkumi latar belakang sosioekonomi, pencapaian akademik, kokurikulum dan saringan psikologi bagi memastikan bimbingan diberikan secara bersasar.

Modul akademik jelas UTM, tidak hanya menekankan strategi pembelajaran efektif tetapi merangkumi komponen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) Robotik bagi meningkatkan kemahiran teknikal.

“Modul Sahsiah fokus pada pembinaan nilai moral, kepimpinan dan komunikasi. Disokong modul psikologi yang membentuk daya tahan mental dan kawalan emosi. Aspek kerohanian pula diselitkan bagi mengukuhkan jati diri dan keseimbangan spiritual peserta,” jelas UTM.

Pelaksanaannya turut melibatkan guru kaunselor dari sekolah terlibat bagi memastikan kesinambungan intervensi di peringkat akar umbi.

UTM menjelaskan, sokongan dana daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM pula menjadikan program itu lebih mampan, bertindak sebagai platform strategik membentuk insan seimbang dario segi intelek, emosi dan rohani.

UTM merancang untuk memperluas KTP Nexus ke lebih banyak daerah di Johor dan negeri lain, sekiranya hasil awal program itu menunjukkan impak positif.

Inisiatif ini dijangka menjadi model rujukan kerjasama komuniti-universiti, khususnya dalam memperkasakan pelajar marginal melalui pendidikan berkualiti.

“Dengan kombinasi pendekatan saintifik dan nilai-nilai murni, program ini diharap dapat menyemai benih generasi muda yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya tetapi berperanan aktif membina masyarakat harmoni,” jelas UTM lagi.

Sementara itu, Prof Dr Rosli berkata, KTP Nexus bukan sekadar program tanggungjawab sosial (CSR), tetapi manifestasi komitmen UTM untuk menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membentuk ekosistem pendidikan yang adil dan menyeluruh.

“Melalui pendekatan holistik ini, kita berhasrat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berintegriti tinggi dan berdaya saing global,” ujarnya.

Beliau berharap agar program itu menjadi perintis kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi peringkat nasional.

Dalam pada itu, wakil JPNJ, Musa Atan berkata, kolaborasi antara sekolah dan universiti seperti ini adalah kunci untuk memperkukuh sistem pendidikan negara.

“Dengan sokongan pakar UTM, pelajar B40 dan anak yatim kini mendapat peluang sama rata untuk berkembang, seiring aspirasi Johor sebagai negeri pembangun modal insan bertaraf dunia,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here