Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan lantikan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) merupakan satu penghormatan besar yang seiring dengan komitmen parti itu dalam memperjuangkan usaha membanteras rasuah di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man  berharap pelantikan itu menjadi medan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkenaan memberikan sumbangan bermakna dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap bahaya rasuah serta memperjuangkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat dan pentadbiran negara.

“Rasuah bukan sahaja merupakan wabak yang merosakkan sistem pentadbiran negara, malah ia adalah perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT, melibatkan semua pihak — sama ada pemberi, penerima mahupun mereka yang membiarkan perbuatan tersebut berlaku.

“Natijah daripada jenayah ini boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara serta menjejaskan tata kelola pentadbiran yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menerima watikan pelantikan sebagai ahli JKMR daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto: FB Anwar Ibrahim

Semalam, Nik Mohamad Abduh dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah merupakan dua wakil daripada blok pembangkang yang dilantik sebagai ahli baharu JKMR bersama-sama seorang lagi iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Tempoh pelantikan mereka bermula 25 April lalu sehingga 25 April 2028 dengan surat lantikan diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Pelantikan itu yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Anwar adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694).

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas berpegang teguh bahawa usaha memerangi rasuah tidak hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan dan perundangan, tetapi juga perlu diperkasa melalui pendekatan spiritual.

“Menanamkan rasa takut kepada Allah SWT dalam jiwa setiap individu adalah asas kepada pembentukan integriti dan kejujuran dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here