KUALA LUMPUR – Lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam didakwa membunuh seorang pengemis di hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam pada 24 April lalu
Tertuduh, Mohamad Fauzan Adib Abd Aziz, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mislia Mohd Aris dalam prosiding tertutup di Hospital Shah Alam, hari ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan kira-kira jam 10.22 pagi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, prosiding itu dilaksanakan selepas tertuduh diberi rawatan penyakit sawan dialaminya.
“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabitkan bersalah.
Sebutan semula pada 9 Jun depan di Mahkamah Majistret Shah Alam, katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang pengemis mati ditikam hingga mati pada 26 Mei lalu, dipercayai berebut tempat meminta sedekah di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini pada 24 April lalu.
Pertelingkahan antara suspek yang juga pengemis dengan mangsa telah berlaku sehari sebelum kejadian dan berlarutan sehingga membawa kepada pertumpahan darah.
Akibat dairpada kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun yang sudah berkahwin ditemui mati sekitar jam 11 pagi selepas ditikam bertubi-tubi oleh suspek. – MalaysiaGazette