KUALA LUMPUR – Lima Ketua Cabang PKR Melaka menyokong Nurul Izzah Anwar bertanding untuk jawatan timbalan presiden .
Mereka termasuk Setiausaha Politik Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga Ketua Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan ( Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), Jagatheason Ramiah (Jasin) dan Md Yusoff Ahmad (Kota Melaka).
Menurutnya, pencalonan Nurul Izzah bukan semata-mata berkaitan personaliti atau pertimbangan warisan tetapi berkait masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.
“Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baharu – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan. Kami yakin Nurul Izzah mempunyai segala ciri kepimpinan tersebut.
“Beliau mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR.
Sejak awal anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.
Pengalaman sebagai bekas Naib Presiden parti, Ahli Parlimen dua penggal dan aktivis masyarakat serta terbaharu disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ memberikan kredibiliti kepada Nurul Izzah untuk memainkan peranan lebih besar dalam PKR.
“Dengan ini, kami berdiri teguh menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat bagi sesi 2025–2028.
“Semoga pencalonan ini mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota PKR dan menjadi titik tolak kepada kebangkitan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa serta masa depan negara,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi telah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada hujung bulan ini.-MalaysiaGazette