KUALA LUMPUR – Masa depan Syria dan wilayah Palestin di Gaza perlu ditentukan sendiri oleh penduduk di kawasan terbabit.
Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) mengutuk serangan Israel di Syria dan Gaza yang menyebabkan keganasan berterusan serta halangan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, serangan terbaru terhadap kapal bantuan kemanusiaan Conscience yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition, memberikan kebimbangan mendalam terhadap misi kemanusiaan.
“Kita mesti bertegas menolak sebarang usaha untuk membisukan suara kemanusiaan atau menjadikan belas kasihan sebagai satu jenayah.
“Sama ada di Syria atau Gaza masa depan mesti ditentukan oleh rakyat – bukan melalui keganasan, sekatan, atau kebuluran. Serangan terhadap flotila bantuan bukan sahaja mencabuli maruah manusia, ia adalah serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat kita,” ujarnya.
Israel menyerang kapal bantuan kemanusiaan yang disertai sukarelawan pelbagai negara Freedom Flotilla Coalition di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan membawa bantuan penting ke Gaza.
Situasi menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa Malta menolak memberikan laluan selamat dan bantuan perubatan kecemasan kepada sukarelawan.
Menurut Nurul Izzah, bencana kemanusiaan semakin memuncak di Gaza setelah tentera pengganas Israel menyekat secara total kemasukan makanan, ubat-ubatan, dan keperluan asas kepada penduduk sejak dua bulan lalu.
“Tindakan menjadikan makanan dan bantuan sebagai senjata perang ini telah mewujudkan keadaan yang sangat terdesak, mendorong kanak-kanak ke ambang kebuluran dan kekurangan zat yang serius.
“Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ribuan kanak-kanak kini berada dalam risiko kematian akibat kebuluran akut dan ketiadaan akses kepada rawatan asas,” katanya.
Sementara itu Presdien MAHAR, Jismi Johari menggesa smua negara yang cintakan keamanan untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap Israel dan memastikan perlindungan kepada semua petugas kemanusiaan.
“Solidariti kami bersama rakyat Syria dan Gaza tidak akan goyah. Kami berdiri teguh bersama mereka dalam perjuangan untuk keamanan, keadilan, dan maruah,” katanya dalam kenyataan.
Serentak itu MAHAR menggesa penghentian serta-merta terhadap pendudukan asing dan pencerobohan ketenteraan di Syria; penamatan sekatan haram ke atas Gaza dan akses penuh tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan.
Masyarakat antarabangsa juga perlu memberi perlindungan terhadap misi kemanusiaan termasuk bantuan segera kepada kapal Conscience dan semua kapal yang membawa bantuan.-MalaysiaGazette