KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU) akan menawarkan program baharu yang ditawarkan oleh Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) pada Hari Terbuka yang akan diadakan di kampus Cyberjaya dan Melaka.
Hari Terbuka akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2025 di kampus Cyberjaya, serta pada 24 dan 25 Mei 2025 di kampus Melaka. Acara ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Hampir 100 program ditawarkan di MMU dan antara tarikan utama ialah penawaran terbaharu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan (Applied Artificial Intelligence) bersama program-program lain yang turut berasaskan kepada kecerdasan buatan (AI), yang dianggap sangat popular dan diperlukan di Malaysia.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, peningkatan penggunaan teknologi AI dalam pelbagai sektor telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja yang mahir dalam bidang tersebut.
Menurut beliau, program AI Gunaan yang ditawarkan MMU memberi penekanan kepada kemahiran kritikal seperti pembelajaran mesin, automasi, dan reka bentuk sistem pintar yang kini menjadi nadi kepada transformasi pasaran pekerjaan global.
“Ini bukan sekadar satu lagi program baharu, tetapi satu inisiatif strategik yang seiring dengan kehendak masa depan. MMU tidak hanya melahirkan graduan untuk mengisi pekerjaan semasa, malah membina pemimpin masa depan dalam ekonomi digital yang dipacu oleh inovasi AI dalam pelbagai sektor,” katanya.
Hari Terbuka MMU turut memberi peluang kepada pelawat untuk meninjau kemudahan moden universiti, berinteraksi dengan tenaga pengajar, serta memahami secara lebih mendalam bagaimana elemen AI diterapkan dalam struktur kurikulum pengajian.
Selain program baharu ini, MMU juga menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan serta Sarjana Teknologi Maklumat dalam Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber.
Program-program berasaskan AI ini dijangka menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan
laluan pendidikan yang menepati kehendak pasaran kerja masa hadapan.
Pengunjung boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai program akademik merangkumi bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Multimedia Kreatif, Seni Sinematik, Perniagaan dan Pengurusan, Kewangan, Perakaunan, Undang-Undang, dan Komunikasi Strategik.
Pengambilan pelajar bagi sesi Julai 2025 kini dibuka sehingga 11 Ogos 2025 dan hari pendaftaran akan diadakan pada 26 dan 27 Julai 2025, diikuti dengan Minggu Penyesuaian yang bakal berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos 2025.
Kelas akan bermula secara rasmi pada 11 Ogos 2025. – MalaysiaGazette