Armin Baniaz Pahamin Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Tanahair mencadangkan formula baharu lantikan Perdana Menteri bagi menjayakan kesepaduan blok pembangkang dan NGO ke arah memperkukuhkan agenda penyatuan Melayu.

Menerusi cadangan itu, Setiausaha Agungnya, Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, setiap parti pembangkang dan NGO yang mendukung agenda perpaduan dan reformasi diberikan ruang untuk mencalonkan seberapa ramai tokoh yang dianggap layak menjadi Perdana Menteri.

Jelasnya, semua pencalonan itu akan dikumpul dan diuruskan oleh Sekretariat Bebas merangkumi wakil pelbagai parti, NGO dan tokoh masyarakat.

Sekretariat itu, tambahya, akan meneliti dan menyenarai pendek 10 calon Perdana Menteri yang memenuhi kriteria utama seperti integriti, kebolehan memimpin, penerimaan rakyat dan kebijaksanaan strategik.

Ujarnnya, tiada seorang pun daripada senarai pendek 10 calon itu akan diumumkan sebagai calon utama Perdana Menteri semasa kempen pilihan raya.

Sebaliknya, kata beliau, pemilihan rasmi calon Perdana Menteri dari 10 calon itu hanya akan dibuat selepas gabungan mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan sebagai lambang permuafakatan, disiplin strategik dan iltizam bersama dalam mengutamakan kemenangan berbanding kepentingan individu.

“Mekanisme dan tatacara lanjut akan diperincikan dalam Sekretariat sekiranya cadangan ini dipersetujui.

“Yang lebih penting ketika ini ialah kesediaan semua pihak untuk bersatu atas satu objektif tunggal iaitu menang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armin Baniaz, pemilihan Perdana Menteri menerusi pendekatan baharu itu memberi beberapa kelebihan antaranya mengelakkan perpecahan dalaman akibat pertikaian awal calon Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, ia juga memberi ruang dan penghormatan kepada semua pihak sama ada parti besar, kecil, NGO atau individu.

Dalam masa sama, ujar beliau, formula itu juga dapat menegakkan prinsip musyawarah dan meritokrasi dalam menentukan pemimpin negara serta menunjukkan kematangan politik blok pembangkang kepada rakyat yang semakin celik dan kritikal.

“Melalui pendekatan ini juga, tokoh-tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi; Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Tan Sri Annuar Musa; Khairy Jamaluddin dan ramai lagi pemimpin Melayu berkaliber boleh dicalonkan secara adil dan terbuka tanpa menimbulkan perpecahan mahupun pertindihan kepentingan politik kepartian.

“Inilah waktunya untuk kita meletakkan agenda bangsa melebihi kepentingan peribadi dan kepartian,” katanya.

Tambah beliau, penyatuan Melayu yang berasaskan strategi, keikhlasan dan kerangka institusi yang tersusun bukan sahaja akan mengukuhkan kekuatan politik, tetapi juga menjamin masa depan negara.

“Marilah kita bina satu saf kepimpinan baharu – berteraskan permuafakatan, disatukan oleh cita-cita bersama, dan didorong oleh tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here