Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Bahang pemilihan jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin panas selepas Nurul Izzah Anwar dicadangkan bertanding merebut jawatan timbalan presiden sekali gus mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli.

Cadangan supaya Nurul Izzah untuk merebut jawatan nombor dua parti itu disuarakan Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi yang turut mengharapkan sokongan seluruh ahli parti berkenaan.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Tapah berkata, sokongan terhadap Nurul Izzah itu juga akan membuka lembaran baharu dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.

“Nurul Izzah bukan asing dalam pentas perjuangan PKR. Dengan pengalaman sebagai bekas naib presiden parti, ahli Parlimen bagi dua penggal, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, beliau membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang amat diperlukan untuk memimpin parti menghadapi cabaran mendatang,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan beberapa portal berita hari ini.

Ketua Penerangan PKR Perak, Azam Afandi.

Tambah Azam, pencalonan Nurul Izzah bukan hanya soal personaliti atau faktor warisan tetapi soal masa depan PKR untuk terus relevan dan diyakini rakyat.

Ujarnya, dalam dunia politik hari ini yang semakin mencabar, PKR memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan parti itu.

Sehubungan itu beilau percaya sekiranya Nurul Izzah diangkat sebagai Timbalan Presiden, Puteri Reformasi itu mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.

“Nurul Izzah juga diyakini mampu memperkukuhkan lagi sinergi antara PKR dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

Menurut Rafizi, keputusan itu diambil bagi mengelak berlakunya ‘drama’ dalaman parti yang akan memberi impak negatif kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun hari ini,  Ketua PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mencadangkan Rafizi memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menggantikannya.

Syed Badli yang juga bekas pegawai kanan bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membangkitkan pengalaman Saifuddin Nasution mengharungi “jatuh bangun” PKR.

Sehingga kini, Saifuddin Nasution yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagaimanapun masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden atau sebaliknya ketika tarikh tutup pencalonan berbaki beberapa hari sahaja lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here